Latest Entries »

Lama tidak menjengah

Salam to all

Sudah sekian lama tidak kujengah ke laman maya ini.
Ada sedikit bekal yang ingin dikongsi bersama. Setelah bergelar pendidik, aku merasa bahagia dengan anak didikku yang tekah berjaya. Tidak kira di mana mereka berada, aku tetap bangga.

Sebenarnya awal Ramadhan lalu, alu telah memulakan tugas baru sebagai pendidik kepada orang ‘besar-besar’. Tugas itu memang tampak mudah, tetapi perlukan kesabaran yang tinggi. Yang lebih penting, aku kena jadi lebih rajin dari ‘mereka’. Aku akui kelemahan yang ada, akan kubaiki kerana aku perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan suasana kerja dan tempat kerja ini.

Pahit itu tetap ada, namun aku anggapnya manis untuk menyejukkan dan meredakan perasaan aku sebenarnya. Aku tidak mahu timbulkan sebarang masalah dan menyusahkan orang lain di mana jua aku berada. Biarlah peninggalan aku kelak hanyalah kemanisan dan bukannya keburukan yang hanya mengaibkan diri sendiri. Aku sedar siapa aku sebenarnya. Hanya Allah yang tahu apa yag aku rasai dan lalui.

Walaupun persinggahan aku kali ini hanyalah di bawah ‘title’ kontrak, namun aku mahu lakukan yang terbaik. Itu azam aku dan aku nak buktikan kepada orang yang memandang rendah pada aku bahawa aku mampu berjaya dengan cara aku.

Kita kongsi cerita lain kali kerana aku ada kerja yang perlu diselesaikan. Inilah kerjaahli akademik. Macam-macam kena buat. Tapi, itu amanah dan ada manisnya kelak.

Salam semua.

Advertisements

Setelah sekian lama…

Sudah sekian lama laman blog ini tidak dijengah mahupun dikemaskinikan. Benarlah hadis Rasulullah SAW :”Sesungguhnya setiap amal itu perlu disertai dengan niat”..
Niat asal blog ini dibuat adalah untuk memenuhi tugasan yang diberikan oleh pensyarah..Jadi,setelah tamatnya pemarkahan blog ini terus sepi dari sebarang aktiviti. rugi pula rasanya jika blog ini tidak dimanfaatkan dengan sebarang aktiviti ilmiah.
InsyaAllah selepas ini, akanku ‘imarah’kan kembali blog yang sekian lama sepi tanpa ‘penghuni’…

Aku sedih…

Salam buat semua…
Bila terbaca nukilan ini, terasa ingin aku kongsikan bersama rakan maya di sini.

Aku sedih…
Bila aku katakan yang Allah itu bersemayam di langit sebagaimana yang disebutkan sendiri oleh Allah ‘azza waJalla didalam kitabNya, mereka kata aku berfahaman mujassimah yang sesat.

Aku sedih…
Bila aku contohi Rasulullah yang tidak menjadikan amalan kebiasaan baginda berwirid berdoa ramai-ramai selepas solat, mereka kata aku pengikut Wahabi yang menyeleweng.

Aku sedih…
Bila aku katakan yang Rasulullah tidak pernah menyuruh kita menyambut kelahiran baginda, mereka kata aku pengikut Salafi yang tergelincir.

Aku sedih…
Bila aku berpendapat yang hujjah Imam Mazhab lain lebih kuat berbanding dengan hujjah Imam Mazhab kita dalam bab sunatnya doa qunut ketika solat subuh, mereka katakan aku tidak berakhlak dengan Imam as-Syafie.

Aku sedih…
Bila aku katakan yang sahabat-sahabat Rasulullah tak pernah mengadakan majlis tahlil selepas kematian, mereka mengherdik aku & megatakan yang aku tak layak bercakap isu agama kerana aku bukan ust.

Aku sedih…
Banyak lagi perkara yang menyedihkan yang aku terpaksa tempuhi selama ini.

Aku sedih…
Sedih bukan kerana kecewa dengan tuduhan-tuduhan mereka. Tetapi aku sedih kerana aku gagal memberikan kefahaman kepada mereka sebagaimana Rasulullah s.a.w telah memberi kefahaman kepada para sahabat baginda. Kenapa, kenapa & kenapa aku gagal?…di mana silapnya?

Ya Allah…
Aku yang tahu Rasulmu pernah berpesan:
“…hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku & sunnah para khulafa’ ar-raasyidiin yang diberi hidayah, gigitlah ia dengan gigi geraham kamu”

Sehingga sekarang, aku dapat rasakan yang aku masih gagal untuk mengajak mereka agar sama-sama menghayati pesanan Rasulmu itu.

Ya Allah…
Aku tahu yang RasulMu pernah bersabda:

“Islam bermula dengan ganjil dan akan kembali ganjil…’
Ya Allah…hanya satu yang kupinta dariMu,
Engkau masukkanlah aku, mak ayahku , kaum kerabatku, guru-guruku & sahabat-sahabatku dalam golongan mereka yang RasulMu sifatkan sebagai ganjil itu ya Allah. Aku teringin sangat melihat mereka faham sebelum aku meninggalkan dunia yang fana ini ya Allah. Kabulkanlah permohonanku ini. Hanya Engkau yang mampu membuka hati-hati mereka. Aku memohon agar Engkau pertemukan kami semua di dalam syurgamu.

Amin ya Rabbal ‘alamiin…

-al-

http://www.al-aarifin.blogspot.com

Demonstrasi……Pilihanraya

Malaysia digemparkan dengan kematian ADUN Permatang Pasir, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur. SPR kena adakan pilihanraya kecil dalam tempoh 60 hari.

Hari ini pula, 1 Ogos 2009 – Demonstrasi (himpunan) mansuhkan ISA di KL (sekitar Jalan Masjid India, SOGO, Masjid Jamek dan kawasan-kawasan yang seangkatan dengannya. Musykil sungguh, dalam masa terdekat dua insiden berlaku. Yang mana satu jalan penyelesaian kerajaan, nak mansuhkan ISA atau menangkan kerajaan di Permatang Pasir? Kerja keras lagila nampaknya. Apa pula janji kerajaan dan pembangkang kali ini demi untuk menangkan ‘diri’ di Permatang Pasir?

Tak sabar tunggu reaksi dan tindakan lanjut dua parti ini (kerajaan dan pembangkang) dalam pilihanraya kecil Dun Permatang Pasir akan datang.

Sama-samalah tunggu reaksi mereka…c”,

Henti sambut Hari Valentine

Tarikh 14 Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Valentine’s Day atau Hari Memperingati Kekasih dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing.

Maka pada 14 Februari, pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah.

Pasangan-pasangan ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adegan-adegan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya.

Saban tahun juga para ulama mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Valentine ini namun ia seperti menuang air ke daun keladi. Hari Valentine tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah haram. Ia adalah sambutan yang berkaitan dengan agama Rom kuno dan juga Kristian.

Sejarah Sambutan Hari Valentine

Bila kita membicarakan tentang sejarah sambutan hari Valentine, maka kita akan dapati bahawa terdapat empat pendapat berkaitan dengannya.

– Pendapat pertama mengaitkannya dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata.

Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun.

Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari ini mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih dua pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu.

Setelah itu akan di adakan perarakan besar-besaran yang diketuai dua pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ia akan menambahkan kesuburan mereka.

– Pendapat kedua mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat dua versi cerita berkaitan dengan St. Valentine ini.

Versi pertama. Pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian telah dipenjara serta disiksa. St. Valentine sebagai seorang yang tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Cladius II.

Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan, beliau tetap mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari.

Pengorbanan yang dilakukan oleh St Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya.

Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan From your Valentine (Daripada Valentinemu).

Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine.

Versi kedua. Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin.

Namun demikian St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.

– Pendapat ketiga. Ia dirayakan sempena kejatuhan kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St. Valentine merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Disebabkan sumbangan beliau itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. Tanggal 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.

– Pendapat keempat. Sambutan hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawan burung yang jatuh pada 14hb Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris.

Di sini kita dapat melihat dengan jelas bahawa asal-usul sambutan Hari Valentine ini tidak ada hubung-kaitnya dengan budaya serta agama bagi umat Islam.

Hukum sambut Valentine

Sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah serta disepakati oleh generasi awal umat Islam hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Ini sebagaimana yang firman Allah SWT: Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus. (al-Hajj: 67)

Anas bin Malik r.a berkata: Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri”. (riwayat al-Nasaai, no: 959).

Oleh itu hendaklah umat Islam membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya khusus untuk umat Islam. Setelah berakhir zaman salafussoleh iaitu tiga kurun terbaik bagi umat Islam, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam kalendar umat Islam seperti Maulid al-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Quran dan lain-lain.

Namun demikian apa yang mendukacitakan adalah umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang langsung tidak berkaitan dengan umat Islam. Malah ia berasal dari budaya serta agama golongan yang ingkar kepada perintah Allah S.W.T. seperti sambutan Tahun Baru Masihi, Hari Halloween dan juga Hari Valentine yang sedang kita perbincangkan ini. Terdapat larangan daripada baginda s.a.w. untuk meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut. Sabda baginda: ”Barang siapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka”. (riwayat Imam Abu Dawud, hadis no: 3512).

Tentang hukum menyambut Hari Valentine, Sheikh al-‘Utsaimin berkata: “Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar”.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam”.

Harus kita ingat bahawa golongan yang memusuhi Islam, akan sentiasa berusaha menanamkan benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam supaya mereka jauh dari jalan yang lurus lagi diredai Allah SWT.

Firman-Nya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar). (al-Baqarah: 120)

Oleh Abu Umair

“Tidak boleh ingkar masalah khilaf”. Inilah ungkapan yang kadangkala membantut sesuatu perbincangan atau penilaian terhadap kesahihan sesuatu pendapat atau amalan. Kata-kata ini kerap dijadikan benteng untuk mempertahankan satu-satu pendapat sekalipun pendapat itu tidak muktabar dalam syariat.

Ungkapan “Tidak boleh ingkar masalah khilaf” sangat masyhur, sehingga sebahagian ulama menjadikannya sebagai satu kaedah dalam feqah dan memasukkannya dalam karangan-karangan tentang qawaed feqah. Tetapi sebahagian kita memahaminya dengan cara yang silap. Kononnya asalkan ia dikira sebagai satu pendapat, maka automatik permasalahan tersebut dilabelkan sebagai permasalahan khilaf yang tidak boleh diingkari.

Kesilapfahaman terhadap kaedah ini berpunca daripada kekaburan antara masalah khilaf yang harus diperselisihkan dan masalah khilaf yang tidak harus diperselisihkan. Atau dengan kata lain, perbezaan antara khilaf yang muktabar dan khilaf yang tidak muktabar.

Al-Imam Al-Izz Ibn Abd Al-Salam memperincikan perbezaan antara dua jenis khilaf ini. Beliau menyebut:

“Orang yang mengambil pendapat yang diperselisihkan, terdapat dua situasi.

Pertama: Masalah khilaf itu ialah masalah yang mesti dibatalkan hukumnya. Dalam permasalahan ini tidak ada jalan untuk bertaqlid padanya disebabkan ia adalah satu kesilapan semata-mata…

Kedua: Masalah khilaf itu ialah masalah yang tidak dibatalkan hukumnya. Maka tidak salah melakukannya atau meninggalkannya, jika seseorang itu bertaqlid dengan sebahagian ulama.” (Al-Qawaed Al-Kubra 2/371).

Daripada kenyataan Al-Imam Al-Izz, kita mendapati ada pembahagian masalah khilaf kepada khilaf yang tidak harus, dan khilaf yang harus. Jadi, sebelum mengingkari sesuatu masalah atau melarang orang lain mengingkari sesuatu masalah, kita terlebih dahulu mesti dapat membezakan antara dua jenis khilaf ini. Kemudian, perlu mengkaji pula adakah sesuatu masalah itu termasuk dalam jenis yang pertama atau kedua. Selepas itu barulah boleh diaplikasikan kaedah ‘Tidak Boleh Diingkari Masalah Khilaf” secara betul.

Khilaf Yang Tidak Muktabar

Pendapat yang tidak muktabar ialah pendapat yang sudah jelas kebatilannya, dan dipastikan kesilapannya berdasarkan dalil-dalil yang sahih dan nyata. Lalu kita putuskan bahawa ia adalah pendapat yang silap tanpa ada sebarang keraguan.

Khilaf jenis inilah yang dimaksudkan oleh Imam Syafie dalam kitabnya Al-Risalah:

“Aku (Al-Syafie) berkata: Khilaf terdapat dua jenis. Pertama: Khilaf yang haram. Dan aku tidak mengatakannya (haram) dalam jenis yang satu lagi”.

Imam Syafie juga memperincikan apakah maksud khilaf yang haram, dengan kata-katanya:

“Setiap perkara yang telah Allah dirikan hujah dengannya di dalam kitabNya, atau di atas lidah NabiNya secara nas yang jelas, maka tidak halal berselisih pendapat padanya bagi orang yang mengetahuinya”. (Al-Risalah: 1/560).

Khilaf yang tidak muktabar seperti ini mestilah diingkari dan diperjelaskan kedhaifan atau keganjilannya, serta diterangkan kesahihan pendapat yang lain dengan hujah. Jadi, kaedah “Tidak boleh ingkar masalah khilaf” tidak meliputi jenis khilaf ini.

Khilaf Yang Muktabar

Setelah kita mengenali khilaf yang tidak muktabar, kita dapat mengenali khilaf yang muktabar. Iaitu masalah-masalah yang dibenarkan berijtihad padanya. Secara dasar, dalam masalah-masalah yang khilafnya muktabar, diharuskan berpegang kepada mana-mana pendapat samada melalui pentarjihan dengan dalil, atau taqlid kepada ulama yang muktabar.

Merujuk kepada jenis khilaf ini, Sufyan Al-Tsaury berkata, “Apa-apa yang diperselisihkan oleh fuqaha, aku tidak melarang seorang pun dari kalangan sahabat-sahabatku untuk berpegang dengannya”. (Al-Faqih Wa Al-Mutafaqqih 2/69).

Ibn Taimiyyah berkata, “Dalam masalah-masalah ijtihadiyyah, sesiapa beramal dengan pendapat sebahagian ulama, tidak boleh diingkari”. (Majmuk Fatawa 20/207).

Jadi, kita boleh simpulkan bahawa bukan semua permasalahan khilaf tidak boleh diingkari. Ada masalah khilaf yang boleh malahan mesti diingkari, dan ada masalah khilaf yang tidak boleh diingkari, iaitu masalah-masalah ijtihadiyyah.

Di samping itu, mengingkari masalah-masalah khilaf yang tidak muktabar bukan bermaksud mencerca dan mencaci pendapat dhaif tersebut. Bukan juga dengan cara merendah-rendahkan martabat ulama yang mengeluarkan pendapat tersebut. Tindakan seperti ini bukan disiplin yang diajar oleh agama dalam mengingkari sesuatu yang salah.

Maksud mengingkari pendapat yang tidak muktabar ialah menerangkan kedhaifan dan keganjilan pendapat tersebut, disamping menyatakan pendapat yang sahih beserta hujah-hujahnya. Dan ia mestilah dilakukan secara beradab dan ilmiyyah.

Wallahu A’lam.

Perpustakaan baru…

Salam buat semua…

Sekali lagi kita bertemu di laman maya ini. Sudah dua hari tidak meneliti dan mengemaskini blog ini. Bukan apa, sibuk kemaskini USIMTODAY Edisi Kelima (surat khabar USIM) sem ini. Alhamdulillah sudah selesai dan hantar pada Ms Adzrah pagi tadi. Akhirnya, boleh rehat sikit setelah tidak cukup tidur 2 hari lepas. Tapi, tidak boleh syok sendiri juga sebab edisi keenam sudah kena mula dari sekarang. Selepas selesai kelas, terasa pula hendak menziarahi perpustakaan yang baru (tapi belum pernah aku jejak kaki lagi) nun jauh di sana (belakang Canselori).

Pada hari ini barulah aku jejakkan kaki ke perpustakaan USIM yang baru ini. 4 tingkat, bukan main lagi. Tetapi, buku agak kurang sedikit berbanding perpustakaan universiti-universiti lain. Tempat atau suasana yang bagus bagi aku untuk study. Ada juga bilik untuk perbincangan, tetapi ada prosedur juga hendak gunakannya. Niat hendak mencari bahan untuk assignment Dr Seween, tapi bahannya tidak dapat dipinjam sebab untuk rujukan sahaja. Fikir punya fikir, akhirnya dapatlah idea dari seorang kawan ni untuk gunakan kamera dan rekod semua bahan tadi. Bukan apa, nak fotostat tak boleh sebab mesinnya rosak. Jadi, jalan penyelesaian yang agak unik dan jimat kos juga.

Jam menunjukkan pukul 2.45 petang, aku terpalsa ke FKP sebab ada mesyuarat. Masalahlah pula, kawan-kawan aku nak stay lagi di perpustakaan ini dan aku terpaksa ke FKP berseorangan. Kenderaan tiada, jadi terpaksa aku menggunakan jalan pintas (dua kaki) ke FKP.

Teringat pula zaman sekolah rendah, abah selalu hantar pergi sekolah saja. Tapi, tidak pernah mengambil semasa pulang. Aku akan berjalan pulang atau tumpang tukang kebun sekolah. Itupun sampai bahu jalan, kira sudah baguslah. Perjalanan agak jauh bagi seorang budak berusia 7 tahun ketika itu, hampir 1.5km.

Setakat ini coretan aku kali ini. Selamat maju jaya kepada semua. Teruskan perjuangan dalam baki masa yang ada.